Popular

KLINIK PERGIGIAN SHARLINDAH – Rakan Usahawan PUNB

Meskipun berdepan dengan pelbagai kesukaran, usahawan PUNB, Dr Sharlindah Md Kassim tidak mudah berputus asa dalam hidup.

Sebaliknya usahawan wanita yang menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan kesihatan pergigian ini berazam untuk mengembangkan perniagaan klinik pergigiannya menerusi francais.

Pesakit comel yang berkunjung ke Klinik Sharlindah.

“Sudah lima tahun saya memulakan perniagaan Klinik Pergigian Sharlindah dan saban tahun persaingan dalam bidang ini semakin meningkat dengan pembukaan lebih banyak klinik-klinik swasta di Melaka.

“Keadaan bertambah buruk dengan kos bahan, ubatan serta penyelenggaraan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa akibat keadaan ekonomi masa kini, namun keadaan ini tidak menjadi batu penghalang.

“Selain menjadikan sistem francais sebagai pilihan, saya turut merancang untuk mengembangkan lagi cabang perkhidmatan perniagaan dengan membuka syarikat membekal peralatan dan bahan pergigian,” jelasnya.

Klinik Pergigian Sharlindah memulakan langkah pertamanya di Bukit Baru, Melaka pada tahun 2012 dan perniagaannya berkembang kepada pembukaan cawangan baharu di Bukit Beruang.

“Untuk perkembangan terbaharu, kami dalam proses membuka cawangan baharu di Kota Fesyen, MITC, Melaka.

“Buat masa ini, kami sedang menunggu lesen untuk memulakan operasi dan perkhidmatan,” katanya lagi.

Klinik Pergigian Sharlindah telah beroperasi hampir lima tahun dan mempunyai lapan pekerja tetap dengan pendapatan klinik pada 2015 sebanyak RM920 ribu.

Pendapatan perniagaan Dr Sharlindah dilaporkan mencatatkan peningkatan kepada RM1.1 juta pada 2016 dan RM1.2 juta pada penghujung 2017.

Perkembangan positif ini adalah satu momentum hasil daripada pembiayaan PUNB berjumlah RM150 ribu yang diterima pada 2014 untuk membeli mesin radiograf serta menaik taraf dan mengubah suai bilik rawatan.

SYARIKAT RAMAN & AIZA GROUP SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jalan menuju kejayaan bukanlah titian yang mudah, namun berkat usaha Abdul Raman Jaafar yang sememangnya meminati bidang perniagaan sejak kecil, beliau kini berjaya membina empayar perniagaan bersama isterinya, Aiza Idrus.

Syarikat Raman & Aiza Group Sdn Bhd milik Abdul Raman dan Aiza ditubuhkan sejak 9 April 2002 dengan modal berbayar sebanyak RM70 ribu.

Menurut Abdul Raman, beliau dan isterinya mengusahakan sebuah butik pengantin iaitu Butik Cantik Bridal House.

“Pada peringkat awal, saya membuka butik pengantin secara kecil-kecilan di rumah di Taman Dimensi, Alor Gajah. Bagaimanapun saya akhirnya berjaya memperoleh pinjaman bank untuk membeli sebuah bangunan kedai di Masjid Tanah untuk dijadikan butik pengantin,” katanya.

Jelasnya, kejayaan yang diperoleh menerusi pembukaan butik pengantinnya membuatkan beliau dan isteri memutuskan untuk menyewa sebuah lagi kedai di bangunan sama untuk mengembangkan perniagaan ke bidang hiasan dalaman di atas jenama Amni Home Décor.

Emapayar Amni Home Decor.

“Sehingga kini, Amni Home Décor bertapak kukuh dengan bantuan tenaga kerja yang terdiri daripada lapan tukang jahit, enam tukang pasang dan tiga pegawai jualan dan pemasaran,” katanya lagi.

Abdul Raman kini berhasrat untuk menawarkan perniagaan francais kepada sesiapa sahaja yang mempunyai minat dalam bidang yang sama. Dalam masa sama, beliau turut berharap untuk membuka pusat sehenti pemborong kain terbesar di Melaka.

“Saya mahu berjaya dalam bidang ini, saya mahu menjadi usahawan yang boleh menjadi contoh kepada anak bangsa yang ingin berniaga,” ujarnya.

Ettijar Enterprise – Rakan Usahawan PUNB

Bayangkanlah jika anda menjadi pembekal lebih daripada satu jenis barangan. Pasti tak menang tangan memenuhi kehendak dan melayan kerenah pelanggan, kan? Inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh usahawan serba boleh, Nur Diana binti Dzulkiply.

Pengasas Ettijar Enterprise, Nur Diana binti Dzulkiply.

Namun sebagai pengasas syarikat pembekal barangan, Ettijar Enterprise, Nur Diana mengakui sudah lali dengan kesibukan menguruskan proses pembekalan bermacam jenis barangan dalam pelbagai sektor.

Malah, katanya, beliau dan pekerjanya sentiasa memastikan pelanggan berpuas hati dengan layanan yang diberi.

“Antara perkhidmatan yang kami tawarkan termasuk membekal alat tulis, cenderahati, mesin kegunaan pejabat, pakaian dan peralatan sukan, alat bantuan mengajar, pakaian beruniform dan alat kelengkapan.

“Kami juga membekalkan peralatan perubatan serta ubat-ubatan selain berpengalaman membekalkan perkhidmatan ke jabatan-jabatan Kerajaan dan hospital-hospital seluruh negara,” katanya.

Takluki seluruh negara

Meskipun seharian bermandi keringat, Nur Diana dan kakitangannya tidak pernah kenal erti lelah, sebaliknya mereka sentiasa mencari inisiatif untuk mengembangkan perniagaan yang bertapak sejak 2009 ini.

Hasilnya, syarikat yang pada mulanya hanya berpangkalan di Shah Alam, Selangor kini mempunyai cawangan di Johor, Perak, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Selain menjadi pembekal kepada perniagaan sedia ada, usahawan wanita berusia 35 tahun ini turut membekal tekstil dan menawarkan perkhidmatan pembuatan pakaian dan tudung jururawat serta linen kelengkapan hospital dan klinik yang beroperasi di Shah Alam, Subang dan Damansara.

Beliau juga turut melibatkan diri dalam industri pembuatan kasut kesihatan, MEDSHOE dan NURZE by MEDSHOE di mana reka bentuk dan teknologi kasut ini dihasilkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala proses pemasangan dilakukan di China dan Malaysia.

“Bagi operasi pembekalan peralatan perubatan pula, Ettijar Enterprise mendapat khidmat rundingan daripada doktor perubatan yang bertauliah.

“Kami juga turut memiliki firma guaman sendiri dikenali sebagai Dianadzul & Associates,” ujarnya lagi.

Koleksi kasut kesihatan keluaran Ettijar.

PUNB pembimbing utama

Menurut Diana lagi, beliau bersyukur apabila memperoleh bantuan pembiayaan sebanyak RM100 ribu daripada PUNB, yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam kelangsungan perniagaannya.

“Menerusi pembiayaan yang ditawarkan, saya dapat mengembangkan perniagaan dan menambah baik produk serta perkhidmatan syarikat untuk menjadi lebih berdaya saing ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya akan terus memimpin Ettijar Enterprise mengorak langkah dengan visi untuk bersaing secara kompetitif dalam pasaran dan menawarkan produk-produk yang lebih berinovatif, berkualiti serta mesra pengguna setanding dengan pasaran antarabangsa,” tambahnya lagi.

Mahu berjaya seperti Nur Diana? Jom jadi usahawan PUNB!

Read Policy

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?