Popular

PRIMELUBE PETROCHEMICALS SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Minat terhadap bidang perniagaan telah mendorong Mohd Fu’ad bin Mohamed menubuhkan Primelube Petrochemicals (M) Sdn Bhd (Primelube) pada 5 Februari 2008. Anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor ini mempunyai pengalaman bekerja lebih 10 tahun dalam bidang penjualan minyak pelincir kenderaan di Chevron Malaysia Limited. Bermula hanya menjadi pengedar pek minyak pelincir dan gris jenama CALTEX di Johor dan Melaka, beliau telah mengembangkan perniagaan dengan menambah produk minyak pelincir jenama REPSOL dan PENZOIL keluaran UMW Lubricant International Sdn Bhd dan UMW Pennzoil Distributor Sdn Bhd pada Disember 2011. Perkembangan membanggakan ini telah meningkatkan prestasi syarikat apabila mampu mencatat jualan sebanyak RM1.4 juta pada awal penubuhan kepada RM3.95 juta pada 2016.

Dalam usaha melebarkan empayar syarikat, Fu’ad telah memohon pembiayaan daripada PUNB pada 2009 yang digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan. Melihat kepada peningkatan prestasi dan kejayaan Primelube, PUNB telah meluluskan pembiayaan untuk kali kedua pada 2013 dan menawarkan khidmat nasihat, kursus dan latihan dalam usaha membantu memajukan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

Produk minyak pelincir jenama REPSOL dan PENZOIL keluaran UMW Lubricant International Sdn Bhd dan UMW Pennzoil Distributor Sdn Bhd.

Antara kejayaan yang diraih oleh Primelube adalah penganugerahan dari REPSOL dan PENNZOIL di atas penjualan produk tertinggi bagi kedua-dua jenama minyak dan gas dari 2012 hingga 2016. Primelube merupakan satu-satunya syarikat Bumiputera yang masih berada dalam senarai UMW Million Dollar Club sehingga kini.

Kejayaan terus diraih apabila pada 2016, Primelube telah diberi kepercayaan oleh PETROMIN Corporation Saudi Arabia yang berpusat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pengimport dan pengedar minyak pelincir jenama PETROMIN bagi Asia Tenggara. Kepakaran Fu’ad terbukti melalui kejayaannya menjual produk PETROMIN di lebih 100 syarikat tempatan hanya dalam tempoh kurang daripada satu tahun.

Di atas prestasi syarikat yang menakjubkan saban tahun juga, Primelube telah menerima pengiktirafan seperti 2017 SME Corp Certificate Of Achievement 3 Star – SME Competitiveness Rating For Enhancement (Retail & Distributive Trade) dan 2018 Muslim World Entrepreneur Development Award – Outstanding SME 2018.

Primelube menerima pengiktirafan 2018 Muslim World Entrepreneur Development Award – Outstanding SME 2018.

Momentum kejayaan terus dilakar apabila pada 2018, Fu’ad dan Primelube telah menjadi pemegang saham dalam penubuhan DD Auto Parts Sdn Bhd (DDAP), sebuah syarikat membekal alat ganti dan servis kenderaan. Langkah ke hadapan, Primelube dan DDAP merancang untuk membuka lebih banyak cawangan, secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kerjaya khususnya kepada Bumiputera dalam industri alat ganti dan pusat servis kenderaan di Malaysia.

DD Auto Parts Sdn Bhd (DDAP), sebuah syarikat membekal alat ganti dan servis kenderaan.

Kini, Primelube sedang mengembangkan sayapnya di Negara-negara Asia Tenggara yang lain bermula dengan Indonesia melalui pemeteraian perkongsian bersama Allied Petroleum Indonesia yang berpusat di Jakarta. Selain itu, Primelube turut menjadi pembekal minyak pelincir kepada badan berkanun dan separa Kerajaan seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), POS Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Darat Malaysia.

Seperti usahawan lain, Fu’ad turut mempunyai cabaran tersendiri dalam mengusahakan perniagaan, terutama dalam bidang yang kebanyakkannya lebih didominasi oleh bangsa asing dan syarikat ternama. Menurut beliau, industri ini memerlukan modal yang besar khususnya dari segi aspek promosi dan pengiklanan kerana perniagaan seperti ini melibatkan urusan pemberian kredit kepada pelanggan. Manakala bagi produk yang diimport pula, pertukaran mata wang asing mampu mempengaruhi harga produk yang dipasarkan dengan tawaran harga yang berpatutan. Malah, lambakan produk jenama tempatan yang lebih murah turut memberi kesan kepada hasil jualan kerana kebanyakan produk tersebut menggunakan minyak pelincir yang telah digunakan dan dikitar semula.

“Saya berharap dapat memasarkan minyak pelincir jenama PETROMIN di seluruh Asia Tenggara dan menjadikan jenama yang telah bertapak di Asia Barat lebih daripada 50 tahun ini sebagai produk No.1 di Malaysia pada masa hadapan,” akhiri beliau.

BABYMAMA TRADING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jenama Tateh tidak lagi asing di kalangan pasangan suami isteri yang ingin mencari keperluan barangan penjagaan ibu dan bayi. Selain barangan kelengkapan bayi, Butik Tateh yang diuruskan oleh Babymama Trading Sdn Bhd ini turut mementingkan penjagaan kesihatan ibu sepanjang proses berpantang.  

Jom ikuti soal jawab bersama pengasasnya, Siti Shafurah Abas tentang pengalaman beliau menguruskan jenama pilihan ibu bapa ini.

S: Apakah perbezaan Tateh berbanding jenama-jenama lain?

J: Tateh menawarkan produk-produk barangan keperluan penjagaan bayi dan juga bagi ibu yang sedang berpantang. Apabila para pelanggan berkunjung ke butik Tateh, mereka bukan sahaja boleh mendapatkan barangan, malah turut dibekalkan dengan ilmu tentang penjagaan bayi, cara penyusuan  serta kaedah berpantang yang betul daripada kakitangan kami yang terlatih dan berpengalaman terutama bagi pasangan yang sedang membuat persiapan terakhir.

Inilah keistimewaan Tateh.

Setsuri – set berpantang yang boleh didapati di butik Tateh

S: Bagaimana Tateh menjaga hubungan dengan pelanggan?
J:
Matlamat utama Tateh adalah memastikan pelanggan mendapat barangan yang diperlukan dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Ini kerana Tateh tidak hanya mahu menjadi penjual barangan keperluan bayi sahaja sebaliknya menjadi tempat rujukan bagi pasangan ibu bapa yang menyambut kelahiran cahaya mata. Disebabkan ini, setiap tenaga kerja kami mendapat latihan dan pemantauan berterusan supaya pelanggan kekal setia dan percaya dengan Tateh.

S: Apakah motivasi yang mendorong anda dalam memimpin Tateh?
J:
Sebagai seorang usahawan dan juga ibu kepada empat orang anak, saya berasa amat berpuas hati apabila dapat memberi jalan penyelesaian kepada mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan terutama dalam penjagaan bayi dan sepanjang proses berpantang. Ini kerana, seperti para ibu lain, saya juga mahukan yang terbaik khususnya perkara melibatkan penjagaan diri dan anak.

Jika dahulu, tidak banyak pusat atau tempat rujukan penjagaan bayi selain daripada hospital dan klinik. Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif ini untuk mewujudkan Tateh. Pengalaman ini menjadi pemangkin inspirasi dalam terus membawa jenama Tateh ke tahap yang lebih tinggi.

S: Menjejak 2020 ini, apakah pendekatan baharu yang telah dirancang untuk Tateh?

J: Dalam usaha bagi memastikan Tateh kekal sebagai pilihan utama, kami akan sentiasa mempertingkatkan promosi dan strategi pemasaran agar Tateh akan lebih dikenali. Salah satu caranya adalah dengan menghasil dan menjual produk-produk berdasarkan permintaan dan keperluan pelanggan. Disinilah pentingnya mengekalkan hubungan yang baik dengan pelanggan kerana mereka merupakan faktor utama kejayaan sesebuah perniagaan.

Selain itu, kami juga sentiasa membuat persediaan dalam memperkemaskan lagi ilmu-ilmu berkaitan penjagaan bayi dan berpantang agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan kami.

Tateh juga akan mempergiatkan lagi kempen-kempen kesedaran dan maklumat keselamatan penjagaan anak, contohnya kepentingan penggunaan Child Restraint System (CRS) atau kerusi keselamatan kanak-kanak seperti yang diwajibkan oleh pihak Kerajaan.

S: Di mana anda melihat Tateh untuk 5 tahun yang akan datang?
J:
 Kami merancang untuk memperkembangkan lagi sayap perniagaan Tateh daripada 18 cawangan kepada 25 cawangan dalam jangka masa 5 tahun akan datang. Pada masa yang sama, kami memastikan setiap cawangan Tateh dapat mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan melebihi daripada sasaran yang telah ditetapkan. 

Selain itu, kami juga merancang untuk menambah baik program pembangunan warga kerja Tateh melalui pemahaman dan peningkatan ilmu khususnya tentang produk dan servis perkhidmatan ditawarkan bagi memastikan para pelanggan Tateh berpuas hati.

Antara produk lain yang ditawarkan oleh butik Tateh

S: Apakah nasihat anda kepada mereka yang ingin dan telah menjadi usahawan?

J: Secara peribadi, seorang usahawan itu tidak boleh mempunyai sikap suka bertangguh dalam melakukan sesuatu perkara, baik dalam perniagaan mahupun kehidupan peribadi. Sikap ini bakal merugikan bukan sahaja masa malah wang dan tenaga. Harus mempunyai semangat mahu maju ke hadapan dan sentiasa berfikir serta bertindak satu langkah ke hadapan daripada orang lain dan jangan pernah putus asa. Tetapkan matlamat dan sasaran yang boleh diukur dan ada garis masa yang jelas. Sekiranya matlamat ini tercapai lebih awal, jangan terlalu selesa dan tetapkan matlamat baru yang lebih besar. 

FAST BIKES SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Fast Bikes bukan lagi nama asing dalam dunia pengedaran motosikal berkuasa tinggi jenama Triumph di Malaysia. Sebagai pengedar tunggal produk keluaran United Kingdom itu, Fast Bikes telah mengembangkan perniagaan di dua negeri iaitu Sabah dan Pulau Pinang.

Keupayaan Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Dato’ Razak Al Malique bin Hussain membawa masuk jenama antarabangsa ini ke Malaysia telah memecah tradisi perniagaan motosikal berkuasa tinggi yang selama ini dimonopoli oleh golongan bukan Bumiputera.

Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang diterima daripada para penunggang motosikal tegar di Negara ini menjadi satu suntikan semangat kepada dirinya untuk terus berusaha meluaskan lagi pengedaran motosikal Triumph yang bercirikan reka bentuk klasik dan moden di pasaran Malaysia.

Di awal penglibatannya pada 2010, Dato’ Razak merupakan seorang penjual motosikal jenama Triumph yang menjalankan operasi perniagaan di sebuah lot rumah kedai yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pada ketika itu, sasaran jualan untuk sebulan hanyalah sebanyak dua hingga tiga buah motosikal sahaja.

Namun, setelah tiga tahun beroperasi, syarikatnya berjaya meraih peningkatan jualan yang memberangsangkan. Menyedari akan kehebatan dan potensi jenama motosikal ini di pasaran, beliau mula memasang cita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan menjadi francaisor utama Triumph di Malaysia.

“Sehingga kini, Fast Bikes telah berjaya meluaskan perniagaannya dengan membuka peluang kepada tiga pengedar motosikal di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak,” katanya.

Untuk perkembangan terkini, Fast Bikes telah memperkenalkan rangkaian klasik moden Triumph 2019 apabila melancarkan lima model baharu untuk pasaran tempatan. Model baharu itu terdiri daripada Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin.

Mengulas tentang cerita disebalik kejayaan syarikat, pelbagai cabaran yang telah ditempuhi oleh Dato’ Razak antaranya apabila beliau terpaksa melalui proses yang agak rumit dalam permohonan perjanjian francais bersama syarikat induk Triumph di UK untuk memberi peluang kepada beliau membuka francais motosikal Triumph di Malaysia.

Namun begitu, kerumitan tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha. Dengan bantuan daripada seorang rakan, beliau akhirnya berjaya menghubungi pihak pengurusan tertinggi Triumph bagi membentangkan rancangan perniagaan beliau.

Walaupun proses perjanjian mengambil masa hampir dua tahun, namun, Alhamdulillah, berkat usaha gigihnya, Triumph akhirnya meluluskan permohonan tersebut dan memberikan kepercayaan kepada Dato’ Razak untuk membuka francais jenama motosikal itu di Malaysia.

Bantuan pembiayaan daripada PUNB juga tiba pada masa yang sangat tepat. Suntikan modal yang diterima pada 2013 itu telah digunakan untuk memulakan operasi perniagaan francais tersebut.

Dato’ Razak menitip nasihat kepada para usahawan muda yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan supaya tidak menjadikan faktor wang ringgit sebagai pendorong utama untuk maju ke hadapan. Sebaliknya, beliau menekankan sifat keikhlasan dalam perniagaan dan usaha yang berterusan adalah tunjang utama kejayaan sesebuah perniagaan agar lebih diberkati oleh Allah S.W.T.

WIRA FOOD TRADING – Rakan Usahawan PUNB

Wira Food Trading Sdn Bhd adalah pemborong & pembekal produk sejuk beku halal di Lembah Klang. Semua produk keluarannya disahkan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Idea Niaga

Dalam dunia perniagaan yang sentiasa berubah dan kompetitif, pengurusan kewangan yang cermat serta komitmen terhadap kualiti adalah aspek penting yang tidak boleh diabaikan. Dengan merancang perbelanjaan dengan teliti dan memastikan pengeluaran disalurkan dengan bijak, serta berusaha untuk meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, perniagaan dapat memperoleh kelebihan yang berterusan dalam pasaran. Inilah beberapa tips yang boleh membantu perniagaan untuk mencapai matlamat ini dengan lebih berkesan:

 

 

 

Dengan menggabungkan perancangan perbelanjaan yang berkesan dengan komitmen untuk mengekalkan standard berkualiti tinggi, anda boleh mewujudkan asas yang kukuh untuk kejayaan dan kemampanan perniagaan anda. Sentiasa menilai semula dan menyesuaikan strategi anda berdasarkan dinamik pasaran dan maklum balas daripada pelanggan dan pihak berkepentingan.

Merancang strategi perniagaan Tahun Baru adalah cara terbaik untuk menetapkan sasaran untuk tahun yang akan datang dan meletakkan perniagaan anda pada satu tahap yang lebih baik. Berikut adalah beberapa langkah dan pertimbangan untuk membantu anda membangunkan strategi perniagaan Tahun Baru yang mantap, di antaranya:

• Imbas kejayaan pada tahun sebelumnya 
Semak prestasi perniagaan anda sepanjang tahun lalu. Kenal pasti apa yang berfungsi dengan baik, apa yang tidak, dan pelajaran yang dipelajari.  Analisis aspek utama operasi, prestasi kewangan, maklum balas pelanggan dan trend pasaran.

• Tetapkan matlamat dan objektif yang jelas 
Tentukan Specific, Measurable, Attainable, Applicable dan Time- bound (SMART) untuk tahun yang akan datang. Selaraskan matlamat anda dengan misi dan visi perniagaan anda secara keseluruhan. 

• Fahami trend pasaran
Ketahui tentang trend industri, perubahan dalam tingkah laku pengguna dan teknologi terkini. Pertimbangkan bagaimana faktor luaran mungkin memberi kesan kepada perniagaan anda dan sesuaikan strategi anda dengan sewajarnya. 

• Nilai dan sesuaikan produk/perkhidmatan anda 
Adakah terdapat peluang untuk penambahbaikan atau pengembangan? Pertimbangkan untuk memperkenalkan tawaran baru atau memperhalusi tawaran sedia ada berdasarkan maklum balas pelanggan dan permintaan pasaran. 

• Semak dan selaraskan strategi pemasaran anda 
Nilai keberkesanan strategi pemasaran semasa anda. Ketahui saluran apa yang berfungsi dengan baik dan di mana penambahbaikan boleh dibuat. Bangunkan pelan pemasaran yang merangkumi gabungan strategi dalam talian dan luar talian dengan mengambil kira platform media sosial, pemasaran kandungan, kempen e-mel dan pengiklanan tradisional. 

• Mengoptimumkan operasi
Selaraskan proses dalaman untuk meningkatkan kecekapan dan pengurangan kos. Labur dalam teknologi yang dapat meningkatkan produktiviti dan mengautomasikan tugasan berulang. 

 • Pembangunan dan penglibatan pekerja 
Menilai kemahiran dan keupayaan pasukan anda. Kenal pasti bidang latihan dan pembangunan profesional. Pupuk budaya tempat kerja yang positif untuk meningkatkan kepuasan pekerja.

• Rancang kewangan    
Buat belanjawan yang sejajar dengan matlamat perniagaan anda. Semak harga dan pertimbangkan pelarasan berdasarkan keadaan pasaran dan nilai yang anda berikan. 

• Tingkatkan pengalaman pelanggan 
Kumpulkan maklum balas daripada pelanggan dan gunakannya untuk meningkatkan pengalaman pelanggan. Laksanakan strategi untuk membina kesetiaan dan kepuasan pelanggan.

• Pengurusan risiko 
Kenal pasti potensi risiko kepada perniagaan anda. Sentiasa maklumkan tentang perubahan undang- undang dan peraturan yang mungkin menjejaskan industri anda. 

• Integrasi teknologi 
Nilai bagaimana teknologi baru dapat memberi manfaat kepada perniagaan anda. Ini mungkin termasuk mengguna pakai perisian baru, menaik taraf infrastruktur atau menggabungkan inovasi dalam produk/perkhidmatan anda.  

• Kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) 
Pertimbangkan untuk mengintegrasikan amalan kelestarian dan inisiatif CSR ke dalam strategi perniagaan anda. Ini dapat meningkatkan imej jenama anda dan menarik minat pengguna.

• Semak strategi perniagaan
Luangkan masa untuk menyemak strategi perniagaan anda. Bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang tidak menentu. 

• Pelan komunikasi 
Bangunkan pelan komunikasi untuk memastikan pihak berkepentingan dimaklumkan mengenai strategi, perubahan dan pencapaian perniagaan anda. 

Anda perlu tahu bahawa fleksibiliti adalah kunci dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang tidak menentu untuk berjaya. Sentiasa menilai semula strategi anda sepanjang tahun dan lakukan pelarasan mengikut keperluan.

Anda berminat untuk memulakan perniagaan sendiri tetapi tidak mempunyai modal yang besar? Atau anda masih tercari-cari perniagaan yang sesuai untuk menjana pendapatan sampingan tanpa memerlukan modal permulaan yang banyak? Jangan risau! Di bawah, kami senaraikan beberapa jenis perniagaan modal rendah berasaskan perkhidmatan yang popular pada masa kini.

Ramai yang menceburi perniagaan ini kerana modus operandinya mudah dan fleksibel. Namun harus diingat! Ia memerlukan kemahiran tertentu berdasarkan jenis perkhidmatan yang ditawarkan. Untungnya jika menceburkan diri dalam perniagaan ini, modal yang diperlukan tidak terlalu tinggi berbanding bidang lain terutama jika melibatkan pembelian stok barangan atau penyewaan pejabat. Dalam erti kata lain, ia boleh dijayakan dengan modal minimum dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja dengan usaha yang gigih.

Pembersihan Rumah/Pejabat

Umum sedar akan kewujudan perkhidmatan pembersihan rumah dan pejabat sejak era 90an. Apatah lagi dengan kemajuan teknologi hari ini, semakin banyak syarikat baru muncul menawarkan perkhidmatan sedemikian secara dalam talian.

Perkembangan ini menunjukkan perkhidmatan sebegini mempunyai permintaan yang tinggi. Laman sesawang seperti Maideasy, MaidACall, Tidy N Shines dan ServisHero adalah antara nama yang tidak asing lagi dalam industri ini (Bagi pengguna Internet, sekurang-kurangnya!).

Seperti perniagaan perkhidmatan yang lain, kadar bayaran bagi perkhidmatan pembersihan tertakluk pada jenis tugasan dan tempoh perkhidmatan.

Apa jua bidang diceburi haruslah mempunyai kemahiran khusus bagi memastikan hasil kerja memuaskan hati pelanggan. Perkara paling penting adalah mencari dan membina kepercayaan pelanggan. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi jika halangan itu dapat diatasi dan anda cekap dalam melakukan kerja pembersihan, pengesyoran pelanggan kepada bakal pelanggan lain pasti akan banyak membantu perniagaan anda.

 Penjagaan Bayi/Kanak-kanak

Perkhidmatan ini sangat sesuai dijalankan oleh golongan wanita terutamanya suri rumah yang ingin menambah pendapatan isi rumah keluarga atau mereka yang bercadang untuk beralih kerjaya bekerja di rumah.

Hasil pendapatan daripada perkhidmatan ini bergantung pada bilangan bayi dan kanak-kanak yang dijaga. Dengan purata pendapatan antara RM 400 hingga RM 600 untuk seorang kanak-kanak, jumlah pendapatan anda boleh melebihi RM 2,000 sebulan.

Khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak dapat dijalankan dari rumah. Kebiasaannya perkhidmatan ini dijalankan dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan caj lebih masa akan dikenakan (Sekitar RM 10 hingga RM 50 sejam) sekiranya pelanggan melebihi tempoh yang ditetapkan.

Selain itu, anda juga boleh menawarkan perkhidmatan jagaan harian atau transit untuk mereka yang mempunyai anak-anak bersekolah, sama ada pada sebelah pagi atau petang. Seperti perkhidmatan pembersihan rumah juga, terdapat beberapa syarikat dalam talian yang menyediakan perkhidmatan ini seperti Malaysia Babysitter dan MyBabysitter, yang boleh digunakan sebagai platform lonjakan bagi menempatkan jenama anda sebelum menubuhkan syarikat sendiri.

Penyediaan Makanan

Sentiasa mendapat pujian untuk masakan anda? Jika ya, anda mungkin boleh menceburi bidang penyediaan makanan atau katering.

Jika dilihat di laman sosial, semakin ramai yang memberanikan diri untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini. Perkhidmatan seperti ini sangat diperlukan terutama bagi mereka yang bujang dan tidak mempunyai masa atau malas untuk memasak. Malah, ada juga yang turut menawarkan menu sihat bagi yang mementingkan penjagaan dan kesihatan diri.

Apakah strategi pemasaran paling berkesan untuk mempromosikan perkhidmatan anda? Sudah tentulah media sosial! Facebook, Instagram dan Twitter adalah medium terpantas, murah dan cepat bagi mereka yang ingin memperkenalkan perkhidmatan disediakan. Selain itu, anda juga boleh menggunakan pelbagai platform dalam talian dan aplikasi telefon yang menyediakan khidmat kempen pemasaran dan penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Grab seandainya anda tidak sempat untuk menguruskannya sendiri. Umum mengetahui bisnes makanan sentiasa ada permintaan dan menguntungkan. Anda berminat?

Fotografi dan Videografi

Berbekalkan sebuah kamera, sebuah komputer dan bakat, anda boleh menceburi bidang fotografi dan videografi. Bermula sekitar 2010, semakin ramai individu yang menawarkan perkhidmatan ini sama ada sepenuh masa mahupun sambilan kerana kini, kedua-dua peralatan asas tersebut mampu untuk dimiliki.

Sebagai permulaan, anda boleh mengiklankan perkhidmatan ini di laman sosial peribadi sebagai promosi pengenalan. Anda juga boleh menggunakan platform ini untuk mendapatkan klien yang memerlukan khidmat sedemikian. Setelah perkhidmatan semakin dikenali, anda boleh membina laman sesawang syarikat sendiri untuk mengukuhkan jenama perniagaan anda. Malah, anda juga boleh bekerjasama dengan syarikat lain yang telah lama bertapak dalam industri bagi melebarkan jaringan perniagaan.

Bagaimana pula dengan pulangan bagi bidang ini? Berdasarkan harga pasaran semasa, harga untuk perkhidmatan fotografi sahaja bermula daripada RM 550 untuk pakej asas seperti majlis pertunangan, akikah mahupun sambutan hari lahir (termasuk album gambar, DVD gambar majlis, dan poster berbingkai) hingga RM 2,800 bagi pakej lengkap perkahwinan (beberapa jenis album gambar, DVD, poster berbingkai dan sesi fotografi luar).

Untuk videografi pula, harganya bermula daripada RM 1,300 hingga RM 7,000 untuk pakej lengkap bagi sebuah majlis (termasuk rakaman acara oleh seorang atau lebih jurugambar video dan DVD).

Ejen Drop-ship

Pasti sudah ramai pengguna Internet di luar sana pernah membeli barangan melalui ejen-ejen drop-ship bukan? Pernah tertanya, layakkah anda untuk menjadi seorang ejen drop-ship? Jangan risau. Anda sememangnya layak! Ejen drop-ship secara asasnya ialah orang tengah antara pemborong atau pengeluar produk dengan pengguna atau pembeli.

Bagaimana untuk menjalankan bisnes sebegini? Jawapannya mudah sahaja. Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mendaftar sebagai ejen drop-ship produk diinginkan. Kemudian, anda hanya perlu mencari prospek atau pembeli yang mahukan sesuatu produk tetapi tidak dapat membelinya sendiri (mungkin kerana produk tersebut sukar untuk didapati). Seterusnya, anda perlu memaklumkan kepada pemborong atau pengeluar produk tentang butiran penting pembeli seperti nama, alamat pengeposan dan barangan yang ditempah bagi memudahkan urusan jual beli.

Sebagai ejen drop-ship, anda tidak perlu menyimpan stok barangan. Peranan anda dalam sistem perniagaan ini berbeza dengan stokis atau peniaga biasa yang perlu melaburkan wang untuk membeli dan menyimpan stok barangan secara pukal.

Akan tetapi, terdapat juga ejen drop-ship yang membeli terus produk daripada pemborong secara pukal pada harga yang rendah dan memasarkan produk itu dengan mengambil sedikit untung daripada harga kos. Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri.

Dengan kadar keuntungan yang agak tinggi serta komitmen yang rendah, ramai yang memulakan perniagaan ini dan kini sudah memiliki bisnes besar. Bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Transkripsi Audio

Anda mampu menaip tanpa melihat papan kekunci? Rakan-rakan anda terpegun dengan kelajuan anda menaip? Apa kata anda cuba kerjaya ini. Sebagai langkah permulaan, anda boleh sertai syarikat seperti I-Yuno, Scribe dan Elite Translations Asia untuk menimba pengalaman asas sebagai pentranskripsi audio bebas dengan hanya berbekalkan sebuah set komputer asas dan capaian Internet sahaja.

Namun, sekiranya ingin terus bekerja sendiri, bolehlah mengiklankan perkhidmatan transkripsi audio anda di laman sesawang antarabangsa seperti Freelancer, Upwork dan Guru (perkhidmatan dibayar dalam dolar Amerika) atau di laman sesawang tempatan seperti Freelancing.com, Freelancing.my dan Mudah.my bagi prospek tempatan.

Namun begitu, kadar ini boleh meningkat sehingga RM 6 seminit, bergantung kepada kepantasan khidmat anda. Jika anda menjalankan perusahaan ini secara sepenuh masa, tidak mustahil untuk anda menerima lebih RM 2,000 sebulan! Anda mampu?

Kesimpulan

Selain perusahaan yang disenaraikan di atas, perniagaan berasaskan perkhidmatan lain seperti pemanduan kenderaan perkongsian, khidmat penghantaran barang, pemasukan data dan blogger (anda boleh sertai Nuffnang- sebuah komuniti blog pengiklanan terkemuka dunia) turut berpotensi untuk dilakukan secara sepenuh masa atau sambilan sahaja. Jadi, tunggu apa lagi? Jom mulakan bisnes anda sendiri hari ini.

Read Policy

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?