SYARIKAT RAMAN & AIZA GROUP SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB
Jalan menuju kejayaan bukanlah titian yang mudah, namun berkat usaha Abdul Raman Jaafar yang sememangnya meminati bidang perniagaan sejak kecil, beliau kini berjaya membina empayar perniagaan bersama isterinya, Aiza Idrus.
Syarikat Raman & Aiza Group Sdn Bhd milik Abdul Raman dan Aiza ditubuhkan sejak 9 April 2002 dengan modal berbayar sebanyak RM70 ribu.
Menurut Abdul Raman, beliau dan isterinya mengusahakan sebuah butik pengantin iaitu Butik Cantik Bridal House.
“Pada peringkat awal, saya membuka butik pengantin secara kecil-kecilan di rumah di Taman Dimensi, Alor Gajah. Bagaimanapun saya akhirnya berjaya memperoleh pinjaman bank untuk membeli sebuah bangunan kedai di Masjid Tanah untuk dijadikan butik pengantin,” katanya.
Jelasnya, kejayaan yang diperoleh menerusi pembukaan butik pengantinnya membuatkan beliau dan isteri memutuskan untuk menyewa sebuah lagi kedai di bangunan sama untuk mengembangkan perniagaan ke bidang hiasan dalaman di atas jenama Amni Home Décor.
Emapayar Amni Home Decor.
“Sehingga kini, Amni Home Décor bertapak kukuh dengan bantuan tenaga kerja yang terdiri daripada lapan tukang jahit, enam tukang pasang dan tiga pegawai jualan dan pemasaran,” katanya lagi.
Abdul Raman kini berhasrat untuk menawarkan perniagaan francais kepada sesiapa sahaja yang mempunyai minat dalam bidang yang sama. Dalam masa sama, beliau turut berharap untuk membuka pusat sehenti pemborong kain terbesar di Melaka.
“Saya mahu berjaya dalam bidang ini, saya mahu menjadi usahawan yang boleh menjadi contoh kepada anak bangsa yang ingin berniaga,” ujarnya.
Bayangkanlah jika anda menjadi pembekal lebih daripada satu jenis barangan. Pasti tak menang tangan memenuhi kehendak dan melayan kerenah pelanggan, kan? Inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh usahawan serba boleh, Nur Diana binti Dzulkiply.
Pengasas Ettijar Enterprise, Nur Diana binti Dzulkiply.
Namun sebagai pengasas syarikat pembekal barangan, Ettijar Enterprise, Nur Diana mengakui sudah lali dengan kesibukan menguruskan proses pembekalan bermacam jenis barangan dalam pelbagai sektor.
Malah, katanya, beliau dan pekerjanya sentiasa memastikan pelanggan berpuas hati dengan layanan yang diberi.
“Antara perkhidmatan yang kami tawarkan termasuk membekal alat tulis, cenderahati, mesin kegunaan pejabat, pakaian dan peralatan sukan, alat bantuan mengajar, pakaian beruniform dan alat kelengkapan.
“Kami juga membekalkan peralatan perubatan serta ubat-ubatan selain berpengalaman membekalkan perkhidmatan ke jabatan-jabatan Kerajaan dan hospital-hospital seluruh negara,” katanya.
Takluki seluruh negara
Meskipun seharian bermandi keringat, Nur Diana dan kakitangannya tidak pernah kenal erti lelah, sebaliknya mereka sentiasa mencari inisiatif untuk mengembangkan perniagaan yang bertapak sejak 2009 ini.
Hasilnya, syarikat yang pada mulanya hanya berpangkalan di Shah Alam, Selangor kini mempunyai cawangan di Johor, Perak, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Selain menjadi pembekal kepada perniagaan sedia ada, usahawan wanita berusia 35 tahun ini turut membekal tekstil dan menawarkan perkhidmatan pembuatan pakaian dan tudung jururawat serta linen kelengkapan hospital dan klinik yang beroperasi di Shah Alam, Subang dan Damansara.
Beliau juga turut melibatkan diri dalam industri pembuatan kasut kesihatan, MEDSHOE dan NURZE by MEDSHOE di mana reka bentuk dan teknologi kasut ini dihasilkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala proses pemasangan dilakukan di China dan Malaysia.
“Bagi operasi pembekalan peralatan perubatan pula, Ettijar Enterprise mendapat khidmat rundingan daripada doktor perubatan yang bertauliah.
“Kami juga turut memiliki firma guaman sendiri dikenali sebagai Dianadzul & Associates,” ujarnya lagi.
Koleksi kasut kesihatan keluaran Ettijar.
PUNB pembimbing utama
Menurut Diana lagi, beliau bersyukur apabila memperoleh bantuan pembiayaan sebanyak RM100 ribu daripada PUNB, yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam kelangsungan perniagaannya.
“Menerusi pembiayaan yang ditawarkan, saya dapat mengembangkan perniagaan dan menambah baik produk serta perkhidmatan syarikat untuk menjadi lebih berdaya saing ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya akan terus memimpin Ettijar Enterprise mengorak langkah dengan visi untuk bersaing secara kompetitif dalam pasaran dan menawarkan produk-produk yang lebih berinovatif, berkualiti serta mesra pengguna setanding dengan pasaran antarabangsa,” tambahnya lagi.
Mahu berjaya seperti Nur Diana? Jom jadi usahawan PUNB!
Sebagai rakyat Malaysia, nasi adalah antara makanan ruji yang menjadi pilihan ketika menjamu selera. Malah ada antara kita yang tidak boleh ‘berpisah’ dengan nasi. Walau ke mana kaki melangkah, bekal nasi pasti tersisip kemas sebagai bekalan perjalanan. Pendek kata, kalau sehari tak menjamah nasi, lembik lutut dibuatnya!
Kalau mahu menambah selera keluarga, pastikan anda memilih Beras Juara yang dipasarkan syarikat Juara Selera Sdn Bhd. Manakan tidak, beras yang dipasarkan oleh syarikat ini telah berjaya ‘mencuri hati’ rakyat negara ini sejak 15 tahun lalu. Ini dibuktikan dengan perkembangan syarikat dan permintaan pasaran yang dilihat semakin meningkat daripada tahun ke tahun sebelumnya.
Zulkifli bersama para pekerjanya menyusun kampit beras yang telah siap diproses.
Perniagaan warisan keluarga
Menurut Haji Jamaldin Zakaria, perniagaan beras ini dimulakan bersama adik-beradiknya sejak 1985 melalui sebuah syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Perniagaan Zakaria Dan Anak-Anak. Pada masa itu, syarikat ini menghasilkan Beras Cap Langsat sebagai produk mereka yang mana ia meraih populariti yang tinggi di utara tanah air.
Pada 2001, Haji Jamaldin menubuhkan syarikat Juara Selera Sdn Bhd bagi menstruktur semula strategi pemasaran Beras Cap Langsat di mana ia menumpukan aktiviti pemasaran di negeri bahagian tengah Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka manakala sebuah syarikat lagi iaitu Zakaria Dan Anak-Anak Sdn Bhd menumpukan kawasan pengedaran di utara Semenanjung Malaysia. Namun, bermula pada 2013, Juara Selera telah menukar jenama beras keluarannya kepada Beras Juara yang dikenali sehingga hari ini.
“Juara Selera ditubuhkan bertujuan untuk memasuki pasaran borong di mana produk keluaran syarikat perlu memenuhi kriteria untuk dipasarkan di pasar raya kecil dan besar.
“Strategi ini mampu menstabilkan jualan dan memberikan keuntungan yang konsisten jika dilaksanakan secara bersungguh-sungguh,” kata Haji Jamaldin.
Juara Selera kini diterajui sepenuhnya oleh anak sulung Haji Jamaldin, Zulkifli Haji Jamaldin. Menurut Zulkifli, meskipun syarikat Juara Selera adalah milik bapanya, ia bukan tiket untuk beliau bersenang-lenang.
Menyifatkan bapanya seorang yang tegas dan mengutamakan disiplin bukan sahaja dalam perniagaan malah kehidupan, Zulkifli berkata, ayahnya masih aktif sebagai penasihat syarikat dan sentiasa berada di kilang yang terletak di Parit Buntar, Perak.
“Sebaik menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam jurusan perniagaan, saya terus melibatkan diri dalam perniagaan ini.
“Semua peringkat kerja yang ada dalam Juara Selera telah saya lalui secara amali. Bermula sebagai jurujual merangkap pemandu, penyelia pengeluaran, pentadbiran sehinggalah ke bahagian kewangan,” ujar Zulkifli.
Mahu tambat hati, selera masyarakat
Lebih kurang 10 jenis beras termasuk beras tempatan dan import dipasarkan di bawah jenama Juara Selera. Juara Kuning 5% iaitu beras tempatan merupakan produk yang paling mendapat sambutan.
Sebagai usaha menambat hati dan selera masyarakat, Juara Selera kini giat mempromosikan beras jenis Basmathi India (Pussa 1121) di bawah produk Beras Juara Haryana.
“Beras ini diimport terus dari India menerusi BERNAS. Meskipun wujud persaingan daripada jenama-jenama lain seperti Faiza dan Jasmine, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan,” kata Zulkifli lagi.
Kini, kilang pemprosesan beras milik syarikat ini yang terletak di Kampung Bakau, Parit Buntar, telah dilengkapi dengan mesin-mesin berteknologi tinggi. Boleh dikatakan 90 peratus daripada kitaran memproses beras sehinggalah siap dikampitkan dilaksanakan secara automatik kecuali penyusunan kampit beras di atas palet papan.
Kapasiti maksimum pengeluaran berdasarkan kepada keupayaan mesin boleh mencapai 100 metrik tan sehari. Ketika ini, jumlah kakitangan Juara Selera adalah seramai 94 orang termasuk pekerja di Rawang, salah satu cawangannya yang telah beroperasi sejak 2013.
Juara Selera jadi usahawan contoh
Kualiti beras yang diproses menjadi keutamaan Zulkifli bagi mengekalkan kualiti produknya.
Hasil kejayaan Juara Selera ini boleh dibanggakan dan mampu dijadikan contoh kepada usahawan Bumiputera. Jelas Zulkifli, seseorang usahawan harus bersikap realistik dalam menilai kemampuan diri.
“Melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan adalah matlamat setiap usahawan, namun jika sistem pengurusan dan pengeluaran tidak mampu memenuhi permintaan pasaran maka ia akan memberikan persepsi negatif daripada pelanggan dan juga pasaran.
“Tiada jalan pintas untuk hidup senang dan selesa. Berusaha semaksima mungkin dan panjatlah tangga kejayaan sebelum tiba ke puncak,” katanya lagi.
Lebih kurang 10 jenis beras termasuk beras tempatan dan import dipasarkan di bawah jenama Juara Selera. Juara Kuning 5% iaitu beras tempatan merupakan produk yang paling mendapat sambutan....
Musim
PKPB ini, ramai peniaga telah mula beralih kepada perniagaan secara atas talian
sebagai medium untuk promosi dan menjual produk serta perkhidmatan ditawarkan.
Walau bagaimanapun, pernahkah anda kekurangan idea setiap kali memikirkan
kandungan yang ingin dimuat naik di platform media sosial perniagaan anda?
Bagi
peniaga yang mempunyai pekerja khusus mungkin tidak terlalu pening, akan tetapi
bagaimana dengan usahawan yang bergerak secara sendirian? Pasti tidak menang
tangan.
Ini mungkin boleh membantu anda!
Pertama
Tukar kandungan video anda kepada teks pendek dan infografik serta sebaliknya. Jika sebelum ini anda pernah muat naik video tentang produk dan perkhidmatan, anda boleh guna semula skrip video untuk dijadikan sebuah ‘posting’ baharu dalam bentuk yang lain serta vice versa. Ini secara tidak langsung, anda telah menghasilkan beberapa kandungan yang berbeza daripada satu idea atau topik untuk media sosial anda. Lakukan secara konsisten bagi idea dan topik yang lain.
Antara reka bentuk infografik yang dapat digunakan untuk rujukan aliran kerja, rajah, laporan tahunan dan reka bentuk web.
Kedua
Setelah
memuat naik, anda harus mempunyai aplikasi atau sistem statistik seperti Google Analytic atau Shield sebagai panduan bagi mengetahui
topik, jenis dan kandungan apa yang mendapat ‘viewers’ dan ‘hits’ paling
banyak. Untuk data yang stabil, anda boleh mengumpul statistik terbaik bagi
tempoh 30 sehingga 60 hari.
Ini secara tidak langsung menjadikan anda seorang ‘pendengar’ yang baik kepada para pengikut media sosial dan kemahuan pelanggan kerana anda tahu apa yang mereka harapkan daripada ‘posting’ anda. Lagipun, semua ini bertujuan untuk menjana keuntungan juga.
Antara contoh Google Analytic atau Shield yang digunakan sebagai panduan.
Ketiga
Kandungan yang berkesan dan mendapat perhatian ini memudahkan anda sebagai penunjuk arah kepada idea pemasaran yang seterusnya. Anda tidak lagi perlu pecah kepala memikirkan idea-idea berlainan setiap kali ingin membuat promosi jualan di media sosial. Setiap kandungan yang berjaya boleh diekstrak untuk dijadikan 5 atau lebih kandungan baharu dan bersedia dimuat naik.
Salah satunya adalah idea bagi kandungan pemasaran.
Jadi,
bayangkan daripada 1 idea ataupun topik,anda telah mereka cipta banyak
kandungan yang berbeza.
Generasi muda kini lebih cenderung untuk bekerja sendiri berbanding makan gaji. Masalah modal atau tiada premis untuk berniaga bukan lagi penghalang bagi sesiapa yang ingin memulakan perniagaan.
Persoalannya, bagaimana hendak mula berniaga? Ini beberapa langkah yang mungkin boleh membantu:
Sertai Kursus & Latihan Keusahawanan Sebelum bermula, anda perlu mempunyai pengetahuan tentang dunia perniagaan. Tanya pada diri,”‘Sudah bersedia ke untuk menjadi seorang usahawan? Asas berniaga sudah ada?” Jika tidak, langkah pertama adalah sertai kursus & latihan keusahawanan samada yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan mahupun swasta.
Antara kursus-kursus awal yang penting meliputi penyediaan Rancangan Perniagaan (RP) – nampak mudah tapi ramai ‘sangkut’ (PUNB ada sediakan Bengkel RP bagi yang berminat), operasi perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran.
Jangan sesekali cuba nasib untuk berniaga tanpa ilmu di dada. Takut anda sendiri yang pening nanti.
Rancang Perniagaan Dah bersedia? Nanti dulu. Sebelum memulakan perniagaan, kita harus kaji selidik perkara berikut:
1) Diri sendiri Ketahui potensi, kemampuan & kebolehan serta kemahiran yang ada pada diri sendiri.
2) Kewangan Mulakan perniagaan dengan modal yang ada terlebih dahulu. Orang kata, ukur baju di badan sendiri.
3) Idea & Pasaran Idea untuk berniaga haruslah berpaksikan perkara yang anda minat dan yakin boleh dibangun dan dipasarkan. Bukannya kerana mengikut trend terkini. Ingat, perniagaan bukan suatu hobi. Buat kajian mengenai kebolehpasaran produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan terlebih dahulu supaya anda tahu siapa, ke mana dan di mana hendak dipasarkan.
4) Nama, Daftar & Lokasi
a. Pemilihan nama/jenama untuk perniagaan amat penting. Ini kerana nama adalah ‘wakil’ pertama selain logo bagi sesebuah syarikat. Pilih nama/jenama yang mudah diingati, ‘catchy’ dan dikenali. Pemilihan nama perniagaan boleh disemak secara atas talian ataupun boleh merujuk kepada Garis Panduan Pendaftaran Nama Perniagaan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
b. Sudah pilih nama, cepat-cepatlah daftarkan ke SSM ye. Pastikan juga anda telah memiliki lesen dan permit yang sepatutnya untuk perniagaan.
c. Bagi lokasi perniagaan, pilih lokasi bersesuaian dengan perniagaan tawarkan. Ini kerana, jika salah pilih lokasi boleh memberi kesan kepada perniagaan (walaupun lokasi tumpuan orang ramai, ia belum lagi jaminan). Lokasi perlulah mudah diakses oleh orang ramai bagi memudahkan perkembangan perniagaan.
Jika tidak berkemampuan untuk menyewa, mulakan perniagaan secara atas talian dahulu. Konsep perniagaan ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Pembiayaan Perniagaan Ramai yang beranggapan untuk berniaga memerlukan modal yang besar. Betul ke? Ternyata ia kurang tepat.
Bagi anda yang baru hendak berjinak-jinak dalam perniagaan, sebaiknya mulakan secara kecil-kecilan. Cara paling mudah dan rendah risiko adalah melalui medium atas talian. Ambil masa anda untuk membina perniagaan. Slow but grow.
Mulakan perniagaan berbekalkan modal sebanyak 80%-90% daripada poket sendiri. Jika 100% lebih baik. Ini bagi mengelakkan anda daripada berhutang sebelum dapat merasa hasil keuntungan sepanjang memulakan perniagaan.
Jika modal masih tidak mencukupi, satu cara lain adalah mendapatkan rakan kongsi, baik yang mempunyai modal ataupun kemudahan perniagaan yang diperlukan. Rakan kongsi anda haruslah seseorang yang mempunyai reputasi baik secara keseluruhan. Ya, anda perlu berkongsi saham pemilikan syarikat namun cara ini lebih baik daripada anda berhutang keliling pinggang.
Hanya selepas perniagaan anda sudah berkembang dan mampu ‘berjalan’ sendiri, bolehlah memohon pembiayaan perniagaan daripada mana-mana institusi kewangan atau agensi pembangunan usahawan yang diiktiraf seperti PUNB.
Yang paling penting, jika anda baru hendak mula berniaga, jangan usik modal dan keuntungan perniagaan untuk kegunaan peribadi.
Menjengah 2020, pasti anda mempunyai perancangan tersendiri, baik kehidupan mahupun kerjaya. Jika anda berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan, 5 perkara ini harus difikirkan sebelum masuk ke ‘gelanggang’: